
Berita Harian 6 March 2013

PENGGIAT seni tembikar boleh menghela nafas lega melihat karya mereka terjaga dengan lebih selamat, manakala orang ramai pula boleh mengamati karya-karya indah mereka itu dalam suasana yang cukup mendamaikan.
Ini menyusuli pembukaan semula Galeri Studio Tanah Liat Jalan Bahar (JBCS) Sabtu lalu.
Pembukaan galeri sebesar 1,050 kaki persegi (97.55 meter persegi), atau besar sedikit daripada flat empat bilik, itu diras mikan oleh pakar tembikar tersohor Singapura yang juga pemenang Pingat Budaya, Encik Iskandar Jalil.
Ini diumum studio itu dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Sebelum ini, Galeri JBCS merupakan kawasan terbuka yang tidak mempunyai sebarang perlindungan keselamatan.
Kini, galeri berkonsep putih bersih dan santai itu mempunyai pagar dawai dan pelbagai rak pameran.
Menurut jurucakap galeri itu, seniman dan pereka menggunakan semula bahanbahan seperti kayu bagi membuat pagar tersebut.
Beliau juga berkata galeri yang diuruskan 14 seniman tetap JBCS itu bertujuan menampilkan karya tembikar tempatan kepada orang ramai.
Ia berfungsi tanpa mencari untung dan akan menyalurkan hasil penjualannya bagi penyenggaraan dan ubah suai JBCS.
Sementara itu, seorang seniman tetap di situ, Cik Kathryn Kng, berkata mereka telah berusaha gigih menghidupkan galeri tersebut.
“Kami berharap pemerintah akan menyokong bidang seni dan kraf tangan kerana ini penting bagi anak-anak. Memandangkan mereka selalu sahaja berada di depan komputer, inilah masanya mereka bermain tanah liat,” ujar beliau ketika dihubungi.
Terletak di 97L, Lorong Tawas, dekat Jalan Bahar, Galeri JBCS dibuka dari Khamis hingga Sabtu, dari 10 pagi hingga 4 petang.
Orang ramai boleh membeli karya tembikar, berjalan-jalan di sekitar studio jika ingin menyaksikan cara seniman tembikar bekerja, serta membaca nota-nota kecil yang disisipkan pada peralatan kelengkapan yang digunakan seniman di situ.
Mereka yang inginkan maklumat lanjut boleh melayari laman JBCS di http://www.jbcs.com.sg.
Copyright © 2012 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne